Lebuh raya Madani tiada dalam perancangan

23 Oct 2026 • 10:52 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebuh raya Madani tiada dalam perancangan

KUALA LUMPUR – Cadangan pembinaan Lebuh raya Madani yang menghubungkan Seremban-Kuala Pilah-Bahau tiada dalam perancangan Kementerian Kerja Raya (KKR) ketika ini.

Bagaimanapun, KKR memaklumkan kajian Laluan Alternatif Jalan Seremban-Kuala Pilah (FT051) yang dimulakan pada Julai 2022 telah diselesaikan pada Julai 2023 bagi mengenal pasti penyelesaian berdasarkan keperluan trafik, guna tanah, sosioekonomi serta kesan alam sekitar dan sosial.

Susulan kajian itu, KKR memaklumkan bahawa dua projek kerja awalan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Projek pertama meliputi kerja awalan membina Jalan Kuala Pilah Bypass dari Tanjung Ipoh ke Kampung Gentam Tengah, Kuala Pilah, melibatkan peruntukan RM187 juta bagi reka bentuk dan pengambilan tanah.

Projek kedua melibatkan kerja awalan membina jalan baharu dari Ulu Bendul ke Tanjung Ipoh dengan peruntukan RM5 juta bagi reka bentuk di bawah RMK13.

“Hasil kerja awalan dan reka bentuk ini akan digunakan untuk memuktamadkan skop teknikal dan menyediakan anggaran kos projek yang lebih terperinci.

“Seterusnya, permohonan bagi pelaksanaan projek fizikal bakal dikemukakan kepada agensi pusat untuk pertimbangan dan kelulusan,” menurut KKR menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli (BN-Jempol) mengenai status terkini cadangan lebuh raya itu.

Selain itu, KKR memaklumkan pihaknya turut menerima beberapa cadangan pihak swasta untuk membina lebuh raya bertol di laluan berkenaan (unsolicited proposal), namun keputusan pelaksanaannya tertakluk kepada pertimbangan agensi pusat.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan), KKR memaklumkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengeluarkan notis penamatan kontrak kepada kontraktor Jeramaju Sdn Bhd bagi Pakej 4 Projek Jalan Pintas Libaran, Sandakan pada 30 Sept lepas berikutan kelewatan pelaksanaannya.

Menurut KKR, projek sepanjang 7.14 kilometer itu mencatat kemajuan fizikal 96.30 peratus, dengan kos keseluruhan terkini RM142.70 juta berbanding kos asal RM105 juta.

“Kelewatan berpunca daripada isu prestasi perunding dan kontraktor. Tindakan sewajarnya telah diambil terhadap perunding, manakala JKR Sabah mengeluarkan notis penamatan kontrak kepada kontraktor selepas lanjutan masa terakhir berakhir pada 30 Sept 2026,” katanya menjawab Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan).

Secara keseluruhan, Projek Jalan Pintas Libaran merangkumi jajaran sepanjang 29.7 kilometer dari persimpangan Batu 32 ke Batu 16, Kampung Gum-Gum, Sandakan, dan dilaksanakan secara berperingkat melalui empat pakej. – Bernama

The post Lebuh raya Madani tiada dalam perancangan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved