Lelaki larikan Land Cruiser dicekup selepas terbabas

LocalCars
9 Mar 2026 • 12:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenderaan pacuan empat roda yang cuba dilarikan suspek sebelum berjaya ditahan orang awam.

LABUAN - Cubaan seorang lelaki melarikan kenderaan pacuan empat roda gagal selepas perbuatannya disedari orang awam di hadapan Balai Raya Kampung Sungai Miri, pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, lelaki tempatan berusia 39 tahun tersebut ditahan selepas pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang dicurinya terlibat kemalangan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 63 tahun kira-kira jam 10.29 pagi melaporkan kenderaan miliknya telah dicuri.

"Pengadu meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 pagi dalam keadaan tidak berkunci sebelum pergi ke laut untuk menangkap ikan.

"Dua saksi awam yang berada berhampiran lokasi kejadian telah melihat seorang lelaki memasuki dan melarikan kenderaan tersebut. Kedua-duanya kemudian bertindak mengejar suspek sehingga kenderaan yang dipandu terbabas dan melanggar tiang elektrik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Hamizi berkata, suspek melarikan diri sebelum ditahan orang awam di kawasan Labuan International Golf Club dan diserahkan kepada polis.

"Kenderaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM25,000 itu berjaya dirampas semula dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan Malaysia kerana mencuri.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun serta boleh juga dikenakan denda," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna serta tidak meninggalkan kunci di dalam kenderaan bagi mengelakkan kejadian kecurian.