Lelaki cedera disamun empat individu di stesen minyak 

12 Nov 2026 • 8:40 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Lelaki cedera disamun empat individu di stesen minyak 

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki berusia 43 tahun cedera dalam kejadian samun membabitkan empat suspek bersenjatakan objek tajam di susur masuk sebuah stesen minyak di Jalan Samagagah, Permatang Pauh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kejadian kira-kira 11.30 pagi itu dipercayai melibatkan suspek warga asing dari negara Asia Tengah dengan dua daripadanya adalah wanita.

“Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai bertindak agresif dan menggunakan objek besi tajam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan sebelum melarikan barangan peribadi milik mangsa, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM10,000.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan meminta sumbangan wang daripada orang awam yang berada di kawasan stesen minyak sebelum bertindak melakukan jenayah samun,” katanya dalam kenyataan.

Nik Aminuddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Marsila Hamzah menerusi talian 019-472 5217 bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan taktik sedemikian, selain segera mendapatkan perlindungan di stesen minyak sekiranya berdepan ancaman.

Katanya, stesen minyak merupakan rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi program Go To Safety Point (GTSP) yang menyediakan tempat mendapatkan bantuan dan perlindungan kepada orang awam.

“Pemilik dan pengusaha stesen minyak turut diminta supaya sentiasa peka terhadap kegiatan seumpama itu serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved