
Kota Kinabalu: Dua pesalah kanak-kanak didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes buli yang dilaporkan berlaku pada September 2025.
Kedua-dua pesalah kanak-kanak itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Papar di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa dan masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan pada Rabu.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak berkaitan kedua-dua pesalah kanak-kanak berkenaan.
Sementara menunggu tarikh itu mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 setiap seorang tanpa deposit.
Difahamkan pesalah kanak-kanak pertama didakwa menyebabkan kecederaan terhadap dua pelajar junior dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Seorang lagi didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana mengganggu seorang daripada pelajar junior berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua pesalah kanak-kanak tidak diwakili peguam.
Peguam Nurshalilah Fauzan Mailin hadir sebagai pemerhati bagi salah seorang mangsa yang didakwa terlibat.
Pada September 2025, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Papar didakwa dibuli pelajar senior dipercayai kerana lewat kembali ke bilik asrama dalam kejadian pada malam 7 September 2025.
Susulan kejadian itu ibu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September 2025.
Ibu mangsa dikatakan membuat laporan selepas dimaklumkan seorang guru sekolah mengenai kejadian berkenaan.
Bagaimanapun Nurshalilah yang ketika itu mewakili ibu mangsa yang didakwa menjadi mangsa buli berkata satu lagi laporan polis dibuat di IPD Kota Kinabalu sehari sebelumnya selepas anak guamnya merasakan terdapat cubaan menyelesaikan perkara itu secara baik antara ibu bapa pelajar yang didakwa membuli anaknya dan anak guamnya.
Menurut laporan sebelum ini, kejadian buli itu berlaku kira-kira jam 11 malam pada 7 September 2025 di dalam kawasan sekolah.
Mangsa yang juga pelajar lelaki mendakwa ditendang di bahagian perut, ditampar pada pipi dan ditumbuk pada hidung oleh seorang pelajar senior sehingga mengalami kecederaan.
Mangsa turut dilaporkan diarahkan menggosok pakaian oleh seorang lagi pelajar senior dari sekolah sama.
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kemudiannya mengesahkan pelajar yang terbabit telah digantung sekolah.






