
SEREMBAN: Seorang lelaki dihukum penjara sebulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita warga emas, bulan lalu.
Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Syahmi Mohad Md Jalel, 30, selain menetapkan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunjukkan kemaluannya kepada wanita berusia 75 tahun di Kampung Baru Mambau, di sini, pada 31 Julai lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat mengaibkan mangsa, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Zaiful Bahrin Kamde yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak masing-masing berusia empat bulan dan setahun.
Menurutnya, tertuduh bekerja di sebuah syarikat mencuci kenderaan dengan pendapatan RM1,800 sebulan selain menyesal, memohon maaf atas perbuatannya dan berjanji tidak mengulanginya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadiahani Ideris memohon hukuman penjara atau denda maksimum dengan mengambil kira kepentingan awam serta kesan perbuatan itu terhadap mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Dalam prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa sama di tepi jalan Kampung Baru Mambau 1 pada 3 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berbanding RM9,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 September ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita warga emas di Kampung Baru Mambau.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman dilaporkan berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar Mambau kira-kira pukul 10.10 pagi pada 12 Ogos lalu. – UTUSAN
The post Lelaki dipenjara sebulan, denda RM2,500 tunjuk kemaluan appeared first on Utusan Malaysia.






