Lelaki ditahan bantu siasatan kematian teman wanita

2 Sep 2026 • 8:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki ditahan bantu siasatan kematian teman wanita
Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian teman wanitanya yang dipercayai dipukul selepas berlaku perselisihan faham antara mereka. Foto hiasan

PENAMPANG - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian teman wanitanya yang dipercayai dipukul selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, mangsa berusia 44 tahun itu dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, pada Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada malam yang sama.

"Hasil tindakan pantas dan siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Lelaki tersebut dipercayai mempunyai hubungan sebagai teman lelaki kepada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sammy berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan lelaki terbabit sebelum wanita itu dipercayai dipukul.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian kemudian dijalankan oleh BSJD Penampang dengan kerjasama pasukan forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

"Beberapa barang kes serta sampel berkaitan turut diperoleh bagi tujuan siasatan dan analisis forensik," katanya.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sasatan masih dijalankan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan berhubung kejadian itu sehingga siasatan serta proses undang-undang selesai.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden Mohd Hairie Awang Akub di talian 016-8032849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved