ISKANDAR PUTERI – Seorang penyelia ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian Jalur Gemilang dan bendera Johor dikibarkan dalam keadaan terbalik di sebuah premis kilang di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya@Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada Rabu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri dan Balai Polis Gelang Patah menjalankan pemeriksaan di lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga batang tiang bendera dipasang di hadapan premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati satu Jalur Gemilang dan satu bendera Negeri Johor dikibarkan dalam keadaan terbalik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Susulan itu, polis menahan lelaki tempatan berusia 56 tahun yang bekerja sebagai penyelia di premis berkenaan bagi membantu siasatan selain merampas masing-masing sehelai Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor.
Saifullah berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku memasang kedua-dua bendera itu pada 18 Ogos lalu dan mendakwa pemasangan dalam keadaan terbalik berlaku secara tidak sengaja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 505B Kanun Keseksaan.
“Polis Diraja Malaysia memandang serius sebarang tindakan yang melibatkan penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang serta bendera negeri.
“Orang ramai khususnya pemilik premis, pihak pengurusan dan individu yang bertanggungjawab memasang bendera dinasihatkan supaya memastikan pemasangan dibuat dengan betul serta sentiasa menghormati lambang kebesaran negara dan negeri,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang masih dijalankan.






