
TAWAU: Seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun ditangkap pada Rabu kerana disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya gara-gara salah faham sesama mereka.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Champin Piuh berkata suspek ditahan sekitar jam 5 petang di parkir kereta berhadapan sebuah bank di pusat bandar, beberapa jam selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 9.16 pagi di Balai Polis Tawau.
Champin berkata berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, kejadian terbabit berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah mereka kira-kira jam 6.30 petang pada Selasa.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau mendedahkan dalam kejadian itu suspek dikatakan mencekik dan memukul mangsa sehingga menyebabkan telinga kanan dan pipi isterinya menjadi bengkak.
“Malah suspek juga membuat ugutan terhadap mangsa dengan menggunakan perkataan yang mengandungi ancaman bunuh,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 kanun yang sama dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga akibat melakukan ugutan jenayah.
Beliau menasihatkan mangsa keganasan rumah tangga agar tidak berdiam diri dan segera membuat laporan kepada pihak polis supaya tindakan awal boleh diambil.
Tambahnya, langkah itu disifatkan penting kerana bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa mereka yang terlibat tetapi mengelak kejadian lebih serius.



