
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pasti ramai yang pernah berhadapan dengan situasi terjumpa wang atau barang milik individu yang tak dikenali.
Kebiasaannya, kebanyakan orang hanya akan membiarkan sahaja namun jika barang itu merupakan sesuatu berharga, ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa.
Jarang sekali kedengaran ada orang sanggup datang menghantar barang tersebut kepada tuan empunya barang apatah lagi jika lokasi agak jauh.
Suami Isteri Terharu, Lelaki Tak Dikenali Sanggup Datang Dari Cheras Hantar Ke Nilai
Namun berbeza dengan seorang lelaki ini yang sanggup datang dari Cheras ke Nilai semata-mata mahu memulangkan barang berupa makanan dan beg cermin mata milik sepasang suami isteri ini.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita, Fazliana Shariff dalam satu hantaran di Threads ketika dia dan suami, Muhammad Afiq tertinggal barangan tersebut selepas berkunjung ke Pusat Beli Belah IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.
Kongsi Fazliana yang berusia 38 tahun, dia berasa terharu dengan kebaikan lelaki yang digelar ‘adik Spiderman’ itu kerana sanggup menghantar barangan berkenaan ke rumah mereka yang terletak di Nilai Impian.
“Kami memang terharu dan sangat berterima kasih kerana ‘adik Spiderman’ memilih untuk berbuat baik dan sanggup menghantar makanan yang tertinggal atas motosikalnya,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Suami Isteri Tak Sedar Barang Tertinggal Ketika Pakai Jaket & Topi Keledar
Jelas Fazliana, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya selesai membeli makanan buat anak mereka sebelum bertolak balik ke kediaman mereka.
“Ketika berada di kawasan parkir, suami meletakkan beg cermin mata dan makanan di atas motosikal (milik lelaki itu) sementara memakai topi keledar dan jaket.
“Kami terus bergerak pulang dan kira-kira satu kilometer sebelum sampai rumah, suami menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.
“Biasanya kalau nombor tidak dikenali, suami memang tidak akan angkat, tetapi entah kenapa kali ini dia berhenti dan menjawab panggilan itu,” katanya.
Suami Isteri Hanya Sedar Tertinggal Barang Selepas Dihubungi Oleh Adik Spiderman
Jelas Fazliana, pemuda berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada mereka bahawa barang tersebut tertinggal di atas motosikalnya.
“Ketika itu barulah kami tersedar beg cermin mata dan makanan yang diletakkan di atas motosikal tertinggal.
“Kami bernasib baik kerana di dalam beg berkenaan terdapat resit yang mempunyai nama dan nombor telefon suami.
“Suami minta dia letakkan barang itu di tempat selamat dan kami bercadang untuk berpatah balik mengambilnya,” katanya.
Lelaki Tawarkan Diri Untuk Hantar Barang, Bersetuju Jumpa Di Tol Nilai
Namun, lelaki terbabit kemudiannya bertanya kepada suami Fazliana lokasi tempat tinggal mereka sebelum menawarkan diri untuk menghantar barangan tersebut.
“Apabila suami beritahu kami di Nilai Impian, dia pula memberitahu dia tinggal di Cheras.
“Kami kata jauh dan risau dia terpaksa berpatah balik, tetapi dia jawab tidak mengapa kerana malam itu dia tidak ada apa-apa urusan.
“Kami kemudian bersetuju untuk bertemu di Plaza Tol Nilai dan lelaki terbabit menyerahkan semua barang yang ditemui,” kongsi Fazliana lagi.
Suami Zahir Ucapan Terima Kasih, Gelar Lelaki Sebagai Adik Spiderman Kerana Datang Pakai Jaket & Profil WhatsApp Gambar Superhero
Jelas Fazliana, suaminya itu berulang kali mengucapkan terima kasih dan mendoakan kebaikan buat lelaki berkenaan disebabkan perbuatannya itu.
“Bagi kami, dia sebenarnya boleh saja tinggalkan barang itu di situ atau ambil apa yang ada, tetapi dia memilih untuk berbuat baik dan sanggup datang dari Cheras ke Nilai untuk pulangkan barang kami.
“Kami panggil dia ‘adik Spiderman’ sebab dia memakai jaket Spiderman dan gambar profil WhatsApp dia pun gambar Spiderman,” katanya.
Kejadian Buka Mata Suami Isteri Lihat Makna Sebenar Rezeki
Tambah Fazliana lagi, insiden terbabit telah membuatkan dia bersama suami melihat sisi lain mengenai rezeki.
Ini kerana makanan yang dibelikan untuk anak-anaknya itu tetap sampai meskipun mereka tertinggalnya sebelum itu.
“Dalam kisah ini, Allah sudah tetapkan rezeki makanan itu memang untuk anak-anak kami dan pada masa sama menemukan kami dengan seorang insan yang memilih untuk berbuat baik.
“Kami sangat berterima kasih kepada adik Spiderman. Semoga segala kebaikan dia dibalas dengan rezeki dan perkara yang lebih baik,” katanya.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Pemuda Gigih Patah Balik Dari Kajang Ke Puncak Jalil Demi Pulangkan Dompet Yang Dijumpai Kepada Pemilik [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Datang Bantu Rider Lepas Maklum Rantai Motor Tercabut Ketika Nak Hantar Barang Raih Pujian






![[VIDEO] Selamba buang sampah, kayu ke sungai di MRR2](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/IMG_2722-1024x548.jpeg)