Lelaki hilang ditemukan maut dalam rumah

10 Sep 2026 • 12:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki hilang ditemukan maut dalam rumah
Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Seri Bistari, di sini pada Rabu.

NIBONG TEBAL – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Seri Bistari, di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintenden Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan kehilangan membabitkan seorang lelaki tempatan pada 7 September lalu.

Menurut beliau, mayat berkenaan ditemukan polis di sebuah rumah di kawasan perumahan tersebut pada Rabu.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Identiti mayat masih dalam proses pengesahan dan bedah siasat akan dijalankan bagi membantu menentukan punca serta sebab kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Norazmi berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan tidak akan membuat sebarang spekulasi sehingga proses pengesahan identiti serta siasatan selesai.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 50-an ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah teres setingkat di kawasan berkenaan.

Mangsa dilaporkan ditemukan dengan tangan dan kaki terikat di dalam tangki septik yang terletak di bahagian belakang rumah berhampiran dapur.

Difahamkan, kejadian terbongkar selepas jiran mengesyaki sesuatu apabila terhidu bau busuk yang datang dari premis tersebut sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan kemudian membawa kepada penemuan mayat lelaki berkenaan yang dipercayai telah berada di dalam tangki septik selama kira-kira dua hari.

Mayat mangsa kemudiannya dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved