
SINGAPURA – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun dihukum penjara lapan minggu selepas ditangkap cuba menyeludup sebatang gading gajah ke Singapura, lapor laman berita Channel News Asia.
Tertuduh dikenali sebagai Hafiludin dan merupakan seorang anak kapal, diberkas pada 9 Ogos lalu dengan gading seberat 550 gram yang disembunyikan di dalam sebuah termos.
Kapal dinaiki tertuduh memasuki Singapura pada 8 Ogos dan Hafiludin turun bersama bagasinya sekitar pukul 12.15 tengah hari pada keesokan hari, demikian menurut dokumen mahkamah.
Singapura merupakan pelabuhan persinggahan terakhir tertuduh sebelum dijadualkan pulang ke Indonesia.
Pemeriksaan sinar-X ke atas bagasinya membawa kepada penemuan objek tajam dan runcing yang menyerupai gading gajah.
Apabila disoal siasat, Hafiludin berulang kali mendakwa objek tersebut merupakan peranti berbentuk cerut yang diperbuat daripada plastik dan digunakan untuk merokok.
Hafiludin dilaporkan membeli gading pada itu beberapa bulan lebih awal daripada seorang pedagang bergerak yang menaiki kapalnya di Lagos, Nigeria, pada akhir Disember 2025.
Dia membeli gading tersebut pada harga AS$150 (RM611), dengan niat untuk dihadiahkan kepada bapanya.
Ujian makmal mengesahkan bahawa gading berkenaan berasal daripada gajah Afrika, walaupun spesies tepatnya tidak dapat dikenal pasti. – AGENSI
The post Lelaki Indonesia dipenjara, sembunyi gading gajah dalam termos appeared first on Kosmo Online.






