Lelaki Lama Cari Cikgu Tapi Dah Meninggal Dunia, Sekali Anak Guru Buat Intern Di Syarikatnya

6 Oct 2026 • 12:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap orang pastinya mempunyai seorang guru di zaman sekolah yang masih diingati sehingga kini.

Ia menjadi lebih bermakna buat seseorang apabila guru tersebut sememangnya memberi pengaruh besar dalam kehidupan pada hari ini.

Lelaki Kongsi Kisah Guru Bantu Bentuk Dirinya Yang Sekarang

Semalam (5 Oktober), tular di media sosial perkongsian seorang individu berbangsa Cina, Kevin Khoo mengenai guru Bahasa Melayu ketika zaman persekolahannya, Cikgu Azlina.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads, Kevin yang merupakan pengasas akademi pengucapan awam kanak-kanak, Ebright Public Speaking Academy (Ebright) menjelaskan gurunya itu memainkan peranan penting dalam membentuk dirinya hari ini.

Manakan tidak, dari seorang murid yang pendiam, Cikgu Azlina telah melihat sesuatu yang istimewa dalam dirinya sehingga membuatkan dia dipilih menjadi peserta pertandingan bercerita dalam Bahasa Melayu.

“Terima Kasih, Cikgu Azlina. Ini arwah Puan Azlina, guru yang membentuk saya menjadi diri saya hari ini.

“Waktu umur 11 tahun, saya budak pemalu dan pendiam tetapi Cikgu nampak sesuatu dalam diri saya yang saya sendiri tak nampak.

“Nasib baik Bahasa Melayu saya agak okay, dan saya dipilih mewakili kelas dalam pertandingan bercerita dalam bahasa,” kongsinya.

Didikan & Ketegasan Guru Buat Kevin Berjaya Wakili Sekolah Hingga Peringkat Negeri

Jelas Kevin, kehidupannya mula mengalami perubahan sejak detik itu.

Ini kerana dia terpaksa menjalani latihan dan berhadapan dengan didikan serta ketegasan Cikgu Azlina.

“Setiap hari tanpa gagal, Cikgu panggil saya masuk ke bilik untuk latihan bercerita.

“Cikgu sangat tegas. Rotan besar sentiasa di tangan. Ada hari saya hampir menangis, tapi Cikgu tak pernah berhenti percaya pada saya,” jelasnya.

Namun semua usaha itu membuahkan hasil apabila Kevin berjaya memperolehi pelbagai kemenangan dan pencapaian antaranya seperti menjadi satu-satunya peserta bukan Melayu yang sampai ke peringkat negeri.

“Hasilnya, Johan Peringkat Daerah Klang, tempat ketiga peringkat negeri, satu-satunya peserta bukan Melayu yang sampai ke peringkat negeri, gambar saya keluar di akhbar Cina, sesuatu yang jarang berlaku pada zaman itu.

“Kami berbeza bangsa dan agama. Tapi didikan keras Cikgu, yang lahir daripada kasih sayang, itulah yang membentuk saya,” kongsinya.

Cuba Jejak Semula Guru Rupanya Telah Tiada, Lelaki Tak Sangka Anak Guru Jalani Latihan Industri Di Tempat Kerja

Jelas Kevin lagi, dia cuba menjejaki semula Cikgu Azlina namun gurunya itu telahpun meninggal dunia.

Namun hebatnya percaturan Allah SWT apabila anak Cikgu Azlina sendiri menjalani latihan industri di syarikat Kevin.

Malah, anak gurunya itu turut terkejut apabila melihat gambar ibunya pada syarikat berkenaan.

“Dua tahun lalu, saya cuba mencari Cikgu, tapi dimaklumkan Cikgu sudah tiada. 

“Dua tahun kemudian, anak perempuan Cikgu datang menjadi intern di Ebright. Dia terkejut ternampak gambar cikgu dalam induction training.

“Dunia ini kecil sungguh. Saya akhirnya berpeluang berkumpul bersama seluruh keluarga Cikgu.

“Saya percaya ini bukan kebetulan. Terima kasih, Cikgu Azlina. Semoga roh Cikgu dicucuri rahmat. Pelajar Cikgu tak pernah lupa,” kongsinya.

Menerusi hantaran tersebut, Kevin turut berkongsi gambar dia bersama gurunya ketika zaman persekolahan serta bersama ahli keluarga cikgunya itu.

View on Threads

Warganet Tersentuh Dengan Kisah Kevin & Gurunya

Perkongsian yang telah mendapat lebih 115,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tersentuh dengan perkongsian Kevin tentang guru Bahasa Melayunya itu.

Malah ada yang berpendapat didikan serta ketegasan seorang guru sememangnya penting dalam menjadikan seorang pelajar itu berjaya.

Bukan itu sahaja, ada seorang pengguna yang dipercayai anak kepada Cikgu Azlina turut menzahirkan ucapan terima kasih atas ihsannya menganjurkan makan malam buat mereka sekeluarga.

Ini antara komen menarik pengguna Threads:

“Terima Kasih Encik Kevin! Saya Baca Rasa Nak Menangis”

Image from: Lelaki Lama Cari Cikgu Tapi Dah Meninggal Dunia, Sekali Anak Guru Buat Intern Di Syarikatnya

“Cikgu Cungkil Bakat Tuan Sampai Tuan Sendiri Boleh Cungkil Bakat Anak-Anak Lain, Hebatnya!”

Image from: Lelaki Lama Cari Cikgu Tapi Dah Meninggal Dunia, Sekali Anak Guru Buat Intern Di Syarikatnya

“Terus Jatuh Air Mata Lelaki Saya, Tahniah Abang Dapat Cikgu Yang Baik Dalam Mendidik”

Image from: Lelaki Lama Cari Cikgu Tapi Dah Meninggal Dunia, Sekali Anak Guru Buat Intern Di Syarikatnya

“Terima Kasih Encik Kevin Kerana Belanja Keluarga Saya Makan Malam”

Image from: Lelaki Lama Cari Cikgu Tapi Dah Meninggal Dunia, Sekali Anak Guru Buat Intern Di Syarikatnya

“Bukti Mendidik & Mengajar Dengan Ketegasan & Disiplin Boleh Membentuk Pelajar Berjaya”

Image from: Lelaki Lama Cari Cikgu Tapi Dah Meninggal Dunia, Sekali Anak Guru Buat Intern Di Syarikatnya

Baca Artikel Berkaitan: Dari Introvert Jadi Berani, Guru Kongsi Kisah Asah Bakat Murid Hingga Menang Tempat Kedua Pidato [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Demi Tarik Minat Murid Ke Sekolah, Cikgu Di Pedalaman Sanggup Jadi Spiderman

Baca Artikel Berkaitan: Ingin Pupuk Minat Murid, SK Rapat Setia Jadi Sekolah Pertama Dalam Bandar Tanam Padi

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved