
MUAR – Seorang murid lelaki tahun enam cedera melecur pada beberapa bahagian badan selepas mercun yang dipercayai dibawanya meletup dalam kawasan sebuah sekolah rendah di daerah ini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, murid berusia 12 tahun berkenaan dipercayai membawa bahan letupan jenis mercun ke sekolah sebelum berlaku letupan yang mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan murid berkenaan telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati murid berkenaan mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan dan telah diberikan rawatan.
“Penilaian awal oleh pihak psikiatri turut dijalankan sebelum dia dibenarkan meneruskan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar turut menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian, manakala pemeriksaan forensik dilakukan Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Raiz Mukhliz berkata, enam saksi telah tampil memberikan keterangan dan polis masih mengesan saksi lain yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post Murid tahun enam cedera mercun meletup dalam sekolah appeared first on Kosmo Online.






