
PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 34 tahun maut dalam kemalangan selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Datuk Panglima Banting di sini pada malam Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang ASP Arisanti Aziz berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam pada Sabtu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Bukit Padang dan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 42 tahun.
“Pemandu 4WD itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu manakala pemandu kereta mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya,” katanya di sini pada Ahad.
Arisanti meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di 019-809 5133 bagi membantu siasatan.






