Lelaki Maut Pacuan Empat Roda Terjunam Gaung, Kejadian Hanya Disedari Dua Hari Kemudian

7 Oct 2026 • 9:09 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Lelaki Maut Pacuan Empat Roda Terjunam Gaung, Kejadian Hanya Disedari Dua Hari Kemudian

Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Jalan Ladang Pos Pulat, Gua Musang, Kelantan.

Bagaimanapun, mangsa dan kenderaannya hanya ditemukan dua hari selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Kaunter Aduan Trafik IPD Gua Musang menerima aduan daripada orang awam berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terbabas dan terjunam ke dalam gaung kira-kira jam 4.30 petang, Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada 4 Oktober, iaitu dua hari sebelum kenderaan dan mangsa ditemukan.

“Berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, lokasi terakhir live location mangsa telah dikesan pada petang Ahad di sekitar kawasan kejadian.

“Pada 6 Oktober, rakan sekerja mangsa telah pergi ke lokasi terakhir live location tersebut bagi mencari mangsa. Hasil pencarian menemukan Toyota Hilux milik mangsa berada di bawah cerun.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memandu kenderaan miliknya sebelum kenderaan tersebut terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter ketika menuruni bukit,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ketika kejadian, tiada individu dipercayai menyaksikan kemalangan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa tidak disedari orang awam sehinggalah ditemukan oleh rakan sekerjanya.

Image from: Lelaki Maut Pacuan Empat Roda Terjunam Gaung, Kejadian Hanya Disedari Dua Hari Kemudian
Kredit: IPD Gua Musang

“Mangsa telah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa naik dari lokasi kejadian dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebelum dihantar ke Unit Forensik, Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, berkaitan kesalahan memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Baca juga:

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta keadaan yang membawa kepada kejadian tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Aida di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Gua Musang menerusi talian 09-9121222.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved