Dua hari hilang, juruukur ditemukan maut dalam gaung

7 Oct 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua hari hilang, juruukur ditemukan maut dalam gaung

GUA MUSANG – Mayat seorang lelaki yang maut selepas trak pikap dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Ladang Pos Pulat di sini ditemukan selepas dua hari nahas berlaku.

Mangsa, Saipul Anwar Daud, 60, yang bekerja sebagai juruukur bebas meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan muka dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku pada Ahad lalu, namun mangsa dan trak pikap jenis Toyota Hilux dipandunya dijumpai semalam oleh rakan sekerjanya.

“Berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, lokasi terakhir menerusi ‘live location’ lelaki itu dikesan pada petang Ahad lalu di sekitar kawasan kejadian.

“Rakan sekerja mangsa pergi ke lokasi tersebut semalam sebelum menemukan kenderaan milik lelaki itu berada di bawah cerun,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai sedang memandu kenderaan itu menuruni bukit sebelum terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter.

Katanya, mayat mangsa dibawa naik dari lokasi dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

 

The post Dua hari hilang, juruukur ditemukan maut dalam gaung appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved