Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika curi kabel

4 Oct 2026 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika curi kabel
Tangan mangsa masih melekat pada kabel ketika mayatnya ditemui.

KLANG - Seorang lelaki maut akibat renjatan elektrik ketika dipercayai mencuri kabel di tepi Jalan Acob, Kapar di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 10 pagi memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kegiatan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kedudukan mangsa ketika ditemui menunjukkan tangannya masih melekat pada kabel tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, polis turut menemukan peralatan memotong kabel, mangga serta sebuah motosikal yang dipercayai digunakan mangsa di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikenal pasti waris sebagai lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an dan berasal dari Kapar, Klang.

"Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk bedah siasat pada 5 Oktober," katanya.

Ramsay berkata, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Mejar Azhar di talian 012-349 5921 bagi membantu siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved