
SHAH ALAM, 4 OKT: Seorang lelaki tempatan berusia 40-an maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Akob, Kapar, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kapar Asisten Komisioner, Ramsay Embol berkata mangsa ditemukan masih melekat pada kabel terbabit, manakala polis turut menemui peralatan memotong kabel, mangga dan motosikal miliknya di lokasi kejadian.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 10 pagi sebelum bergegas ke lokasi. Siasatan mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan jenayah mencuri kabel.
“Ketika ditemukan, kedudukan mangsa dan tangannya masih melekat pada kabel milik TNB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital UiTM, Puncak Alam untuk bedah siasat, manakala kes disiasat sebagai laporan mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 012-349 5921.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan seorang lelaki di bawah tiang elektrik di Jalan Akob pada jam 10.02 pagi.
Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar tiba di lokasi sembilan minit kemudian dan mendapati seorang lelaki dipercayai berbangsa India berada di bawah tiang elektrik.
“Komander Operasi mendapati seorang lelaki berada di bawah tiang elektrik. Identiti dan usia mangsa ketika itu belum dikenal pasti.
“Anggota bomba menunggu arahan pihak polis sebelum mayat diserahkan untuk tindakan lanjut,” katanya.






