Polis tembak suspek pandu agresif, langgar kenderaan awam ketika dikejar

10 Oct 2026 • 10:49 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis tembak suspek pandu agresif, langgar kenderaan awam ketika dikejar

SHAH ALAM, 10 OKT: Seorang lelaki cedera terkena tembakan polis selepas memandu secara agresif dan melanggar kenderaan awam ketika dikejar dari Persiaran Mahogani, Petaling Jaya menuju ke Sungai Buloh, semalam.

Suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang memandu Proton Wira itu berjaya ditahan, manakala seorang anggota polis turut cedera dalam kejadian berkenaan, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 6.42 petang.

“Dalam kejadian itu, suspek memandu secara agresif dan berbahaya serta melanggar kenderaan awam sebelum berjaya ditahan polis.

“Suspek mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan pihak polis ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya, suspek dan anggota polis yang cedera kini menerima rawatan di hospital.

Shamsudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 279 kanun sama kerana memandu secara melulu atau berbahaya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Permohonan reman terhadap suspek dijadual dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Terdahulu, rakaman video memaparkan beberapa kereta peronda polis di jalan raya tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai.

Sehubungan itu, Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kejadian tersebut.

“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved