Pemandu teksi dipenjara 6 tahun, rempuh Rohingya hingga mati kerana tambang

26 Aug 2026 • 4:55 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas didapati menyebabkan kematian seorang lelaki warga asing dalam insiden berkaitan isu bayaran tambang.

Image from: Pemandu teksi dipenjara 6 tahun, rempuh Rohingya hingga mati kerana tambang

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Kalyana Kumar Sockalingam menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Dhana Balan Ravindran, 31, terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tambahan selama setahun sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan. Dhana Balan bagaimanapun gagal menjelaskan denda tersebut.

Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang penumpang lelaki etnik Rohingya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kilometer 16, Jalan Kluang-Ayer Hitam berhampiran Sri Gading, Batu Pahat, antara jam 6.50 hingga 7 pagi pada 20 Oktober 2022.

Mengikut Seksyen 41(1), kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak melebihi RM50,000.

Berdasarkan fakta kes, sekitar jam 5.30 petang pada 19 Oktober 2022, mangsa bersama anak saudaranya menaiki teksi dipandu tertuduh dari Johor Bahru menuju ke Batu Pahat.

Setibanya di Batu Pahat, tertuduh bertanyakan kepada mangsa mengenai bayaran tambang. Mangsa kemudian memaklumkan wang yang dimilikinya tidak mencukupi untuk membayar jumlah berkenaan.

Sebagai ganti kepada baki tambang, mangsa mengeluarkan empat telefon bimbit daripada begnya. Bagaimanapun, tertuduh mempersoalkan sama ada telefon berkenaan benar-benar milik mangsa atau diperoleh daripada kegiatan samun.

Persoalan itu kemudian mencetuskan pertengkaran antara kedua-duanya sebelum tertuduh memberhentikan teksi di bahu jalan dan meminta mangsa serta anak saudaranya turun dari kenderaan.

Pertengkaran itu kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan fizikal. Mangsa menggunakan sebatang besi, manakala tertuduh pula bersenjatakan kayu.

Tertuduh selepas itu masuk semula ke dalam kenderaannya sebelum mengundurkan teksi tersebut pada kelajuan tinggi.

Artikel lain: Dakwa diugut keluar kampung, keluarga Rohingya tampil buat laporan polis

Dalam keadaan mangsa cuba menyelamatkan anak saudaranya, kenderaan dipandu tertuduh merempuh lelaki berkenaan. Mangsa kemudian rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam, Chelva R Suppiah.

Sumber: Harian Metro (Alias Abd Rani)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved