
SUNGAI PETANI – Lelaki warga Pakistan yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang pelajar di Jalan Darul Aman Lagenda, di sini semalam direman selama tiga hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, perintah reman terhadap jurujual karpet dan langsir berusia 27 tahun itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa yang merupakan pelajar lelaki tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Lalang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal sedang bergerak lurus di lorong tengah dari arah Jalan Mawar menghala ke Jalan Darul Aman Lagenda.
“Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipandu lelaki Pakistan berusia 27 tahun itu yang datang dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba sebelum memasuki laluan motosikal berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa tidak sempat membrek atau mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sebelum motosikal ditunggangnya melanggar bahagian pintu hadapan kiri MPV.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu Perodua Alza yang membelok ke kanan di persimpangan tanpa memastikan laluan selamat sehingga memasuki laluan mangsa dan mengakibatkan pelanggaran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Pakistan pandu Alza direman, berlanggar dengan pelajar hingga maut appeared first on Kosmo Online.





