KUALA LUMPUR – Lagak samseng seorang lelaki bertindak mematahkan cermin sisi sebuah kereta dipercayai akibat berang laluan parkir dihalang mengundang padah apabila dia diberkas pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dilakukan susulan video kejadian itu yang tular di media sosial.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.40 malam, Isnin.
"Laporan dibuat berkaitan satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok oleh pemilik akaun yang memaparkan seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kereta.
"Kejadian dipercayai berlaku di sekitar kawasan Cheras, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menjalankan operasi bagi mengesan suspek.
"Hasil operasi, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an di sekitar kawasan Cheras pada jam 12.28 pagi, Rabu.
"Suspek dipercayai individu yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Mohd Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat suspek berang selepas laluan keluar parkirnya dihalang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak mematahkan cermin sisi kenderaan berkenaan.
"Suspek telah dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman.
"Mahkamah membenarkan reman selama tiga hari bermula 11 Mac sehingga 13 Mac bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu bertindak mematahkan cermin sisi sebuah kenderaan di sini.



