Lelaki Rohingya dicekup pandu BMW 5 Series

LocalCars
28 Sep 2026 • 10:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki Rohingya dicekup pandu BMW 5 Series

KOTA BHARU – Dua lelaki warga asing termasuk seorang etnik Rohingya dicekup selepas memandu kereta jenis BMW 525 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Land Cruiser di sini baru-baru ini.

Lelaki Rohingya berusia 36 tahun dan lelaki Bangladesh berusia 51 tahun yang berstatus Pemastautin Tetap itu ditahan menerusi Ops Luxury yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kedua-dua kenderaan dipandu warga asing itu didapati tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan.

Katanya, kereta jenis BMW 525 dipandu lelaki etnik Rohingya itu ditahan di Jalan Pasir Hor di sini pada 19 September lalu manakala pemandu SUV Toyota Land Cruiser pula di Tunjong keesokan harinya.

“Kereta BMW itu tidak mempunyai cukai jalan dan insurans. Pemandunya yang disyaki menjalankan perniagaan runcit di Kelantan juga tidak mempunyai lesen memandu.

“Siasatan lanjut mendapati, lelaki Rohingya itu dipercayai membeli kereta tersebut daripada warga tempatan, namun pemilikannya tidak boleh ditukar atas nama warga asing.

“Bayangkanlah, dia datang dengan bot, sampai ke Malaysia dan tiba-tiba boleh pakai BMW,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini semalam.

Muhammad Kifli memberitahu, warga Bangladesh yang memandu SUV jenis Toyota Land Cruiser bernilai RM780,000 itu dikatakan sudah 10 tahun bekerja sebagai kontraktor di negeri ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, JPJ menafikan sekeras-kerasnya isu tular di media sosial yang mendakwa agensi itu akan membenarkan etnik Rohingya memiliki lesen memandu.

“Ia tidak pernah dibincangkan atau diputuskan oleh JPJ. Perkara itu adalah mustahil daripada sudut perundangan kerana golongan tersebut tidak diiktiraf oleh mana-mana negara dan dokumen yang dimiliki etnik berkenaan dianggap tidak sah untuk membolehkan mereka memiliki lesen memandu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki Rohingya dicekup pandu BMW 5 Series appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved