
JOHOR BAHRU: Hasrat seorang lelaki meraih keuntungan berlipat ganda menjadi igauan ngeri apabila wang simpanannya berjumlah RM516,341 lebur akibat terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan kasut dalam talian yang tidak wujud.
Mangsa berusia 56 tahun dan tidak bekerja itu terpengaruh dengan janji manis sindiket yang menawarkan pulangan lumayan hingga 60 peratus sehari.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa lelaki berkenaan, kelmarin.
“Mangsa yang teragak-agak mahu melepaskan peluang pulangan berlipat ganda itu telah melakukan 24 transaksi pemindahan wang ke dalam 24 akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM516,341 antara 3 Julai hingga 14 Ogos lalu.
“Kesemua wang berkenaan merupakan wang simpanannya sendiri. Mangsa bagaimanapun mula menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan sepanjang tempoh pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan wang tidak munasabah dalam tempoh singkat. – UTUSAN
The post Lelaki terperdaya skim pelaburan palsu hilang RM516,341 appeared first on Utusan Malaysia.





