
JOHOR BAHRU – Hasrat seorang lelaki mengaut keuntungan pantas daripada pelaburan saham perniagaan kasut dalam talian bertukar mimpi ngeri apabila mengalami kerugian RM516,341 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Mangsa berusia 56 tahun dan tidak bekerja itu dikatakan terpedaya selepas ditawarkan pulangan antara 30 hingga 60 peratus sehari daripada jumlah pelaburan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa membuat laporan di IPD Seri Alam semalam selepas menyedari dirinya dipercayai menjadi mangsa penipuan.
Katanya, mangsa mula melakukan transaksi pembayaran pada 3 Julai lalu sebelum meneruskannya sehingga 14 Ogos selepas tertarik dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Sepanjang tempoh tersebut, mangsa telah membuat 24 transaksi ke 24 akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM516,341. Kesemua wang terbabit merupakan simpanan mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, selepas sejumlah besar wang dipindahkan, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan, sebaliknya, mangsa sekali lagi diarahkan membuat bayaran tambahan, kononnya bagi membolehkan keuntungan pelaburan dikeluarkan.
“Situasi itu menimbulkan syak wasangka sebelum mangsa menyedari dirinya mungkin diperdaya dan membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Rugi setengah juta ringgit labur saham niaga kasut appeared first on Kosmo Digital.






