
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 37 tahun mengalami trauma selepas berdepan detik mencemaskan apabila dicabul seorang lelaki di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Cheras, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Encik T berkata, dia pada mulanya memasuki tandas berkenaan selepas melihat suspek beredar.
Menurutnya, dia jarang menggunakan tandas terbabit setiap kali berkunjung ke pusat beli-belah itu.
Bagaimanapun, pada hari kejadian, dia terpaksa menggunakannya kerana keadaan yang mendesak.
“Ketika hendak keluar, lelaki itu menghalang laluan saya sebelum tiba-tiba menyentuh kemaluan saya.
“Terkejut dengan perbuatannya, saya terus memegang tangan lelaki itu sebelum membawanya kepada pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa berkata, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Cheras pada hari kejadian bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, menurut sumber, suspek berusia 28 tahun itu ditahan polis selepas pihak keselamatan pusat beli-belah berkenaan menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian tersebut. – UTUSAN
The post Lelaki trauma dicabul dalam tandas pusat beli belah appeared first on Utusan Malaysia.






