
KAJANG – Seorang lelaki yang dikejar orang awam sehingga tular di media sosial dipercayai terlibat kes kecurian sebuah motosikal Yamaha 135LC di Jalan Lagenda Suria 1, Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian pukul 3 petang itu, pengadu mendapati seorang lelaki telah melarikan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan parkir premis tersebut.
Menurutnya, pengadu kemudian bertindak mengejar suspek dengan bantuan orang awam dan berjaya menahan lelaki berkenaan.
“Susulan tangkapan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menjalankan siasatan lanjut dan berjaya menahan dua lagi lelaki warga tempatan.
“Kesemua suspek berusia di antara 30 hingga 38 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada tiga suspek positif methamphetamine.
Katanya, siasatan dan tindakan lanjut turut membawa kepada rampasan lima motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Hulu Langat, Batu 9 Cheras dan Wangsa Maju.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan P. Sarma di talian 019-329 6634 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di media sosial insiden seorang lelaki dikejar orang awam di Hulu Langat sebelum diserahkan kepada pihak polis. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki tular ditangkap orang awam disyaki curi Yamaha 135LC appeared first on Kosmo Digital.


![[VIDEO] ‘Tengah sedap makan, tiba-tiba…’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/TULAR-VIRAL-BUANG-AIR-KECIL-1024x766.jpeg)

![[VIDEO] ‘Kalau lori tu brek mengejut, boleh terus ke alam lain’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/IMG-20260810-WA0010-1024x766.jpg)

