
KLUANG – Tular di media sosial dakwaan seorang anggota polis membuat ugutan dan meminta wang rasuah daripada orang awam di Bandar Premier di sini, sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya mengesan hantaran berhubung kejadian itu di aplikasi Facebook pada Jumaat lalu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Persiaran Utama, Bandar Premier pada 5 Ogos lalu.
“Susulan itu, Polis Daerah Kluang akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan termasuk kemungkinan tindakan tatatertib terhadap anggota yang terlibat.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota sekiranya didapati melakukan kesalahan sehingga mencemarkan imej PDRM,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, satu hantaran di Facebook yang dikesan pada kira-kira pukul 11 pagi Jumaat mendakwa seorang anggota polis meminta wang serta mengugut orang awam ketika berada di Jalan Persiaran Utama, Bandar Premier.-KOSMO! ONLINE
The post Polis didakwa ugut, minta rasuah appeared first on Kosmo Digital.






