Lelaki warga emas rempuh penghantar makanan dibebaskan atas faktor kesihatan

LocalPolitics
6 May 2026 • 2:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki warga emas rempuh penghantar makanan dibebaskan atas faktor kesihatan
Kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan 17/21 pada Selasa.

PETALING JAYA - Lelaki warga emas yang merempuh penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan 17/21, di sini pada Selasa dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati suspek memiliki lesen memandu yang sah.

"Lelaki warga emas itu dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan memandangkan sudah berusia dan mempunyai penyakit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Proton X70 terbabit sehingga hilang kawalan.

"Ketika kejadian lelaki berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah, manakala mangsa yang juga penghantar makanan sedang bekerja," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan 17/21, di sini, kira-kira jam 1.45 tengah hari Selasa.

Kenderaan dipandu lelaki warga emas itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa.

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.