
Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina yang berada di negeri ini secara tidak sah dan mendakwa berada di bawah pengaruh alkohol ketika melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang remaja tempatan dihukum penjara tujuh tahun serta satu sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Herman Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Jesbir Rasmin selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Jesbir, 28, melakukan kesalahan itu terhadap gadis berusia 17 tahun 11 bulan dengan memegang kemaluannya bagi tujuan seksual pada jam 12.57 tengah hari, 17 Julai lalu di sebuah tokong Buddha.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Jesbir menjalani hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh tangkapannya.
Semasa merayu hukuman (mitigasi) Jesbir yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan menyatakan bahawa dirinya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia menyedari perbuatannya itu salah dan mendakwa tidak akan melakukan kesalahan tersebut sekiranya tidak mabuk pada waktu kejadian.
Jesbir memohon maaf atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.
Apabila ditanya oleh mahkamah siapa yang menyuruhnya minum arak sehingga mabuk, Jesbir menjawab bahawa dia meminumnya atas kehendak sendiri.
Ekoran itu Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan kesalahan tersebut adalah serius dan dilakukan di siang hari.
Jesbir turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, mahkamah memerintahkan supaya Jesbir dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Mahkamah diberitahu bahawa kejadian berlaku semasa mangsa sedang bekerja di tokong berkenaan apabila seorang lelaki yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Jesbir masuk ke tempat kerja mangsa.
Mangsa menyuruh Jesbir tidak memasuki tempat kerja itu namun dia tidak menghiraukannya. Semasa di dalam, Jesbir menghampiri mangsa lalu memegang kemaluan mangsa.
Mangsa menepis tangan Jesbir dan menangis teresak-esak kerana ketakutan dengan tindakan lelaki tersebut.
Jesbir melarikan diri dari tempat kejadian tetapi berjaya ditangkap pada 20 Julai berikutan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.



![[VIDEO] ‘Ingatkan anak yang buka but kereta, rupanya…’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WARGA-ASING-DASHCAM-KERETA-1024x768.jpeg)


