Lelaki warga Myanmar didakwa seludup tujuh migran

3 Aug 2026 • 1:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki warga Myanmar didakwa seludup tujuh migran

IPOH – Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup tujuh migran warganegara sama di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zaw Zaw Aung, 35, kerana dia tidak memahami Bahasa Melayu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan penyeludupan tujuh migran di Kilometer 261.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora di dalam daerah Kinta pada pukul 12 tengah hari, 13 Julai 2026.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, S. S. Pavitra tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki yang tidak diwakili peguam itu memandangkan perbuatan tertuduh adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula bagi lantikan jurubahasa.

Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa sebagai warga asing yang berada di Malaysia tanpa memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002).

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ekoran lelaki itu tidak memahami bahasa Melayu.

Majistret S. Punitha kemudian menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa Myanmar. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki warga Myanmar didakwa seludup tujuh migran appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved