
Lenovo memperkenalkan Yoga Pro 9i Aura Edition (16”, 11) baharu di CES 2026 dengan pemproses sehingga Intel Core Ultra 9 Series 3. Ia turut dikuasai oleh NVIDIA Blackwell GeForce RTX 50 untuk meningkatkan keupayaan permainan dan kerja kreatif. Ia turut menggunakan teknologi NVIDIA DLSS 4 dan NVIDIA Studio untuk prestasi yang lebih lancar.

Selain itu, peranti ini hadir dengan paparan 3.2K PureSight Pro Tandem OLED yang imersif, menyokong 100% ruang warna Adobe RGB, P3 dan sRGB dengan kecerahan sehingga 1600 nits serta kontras VESA HDR True Black 1000 untuk paparan warna tepat. Sementara itu,enam pembesar suara Dolby Atmos terbina menjanjikan bunyi yang jelas sesuai untuk suntingan video mahupun hiburan harian.
Ia menawarkan kerangka serba baharu dengan kemasan dua tona Thunder Grey, sistem penyejukan yang dipertingkatkan dan papan kekunci Yoga Black dengan jarak kekunci 1.5 mm. Selain itu, ciri Force Pad berfungsi sebagai pad sentuh dan permukaan lukisan manakala gabungan dengan Yoga Pen Gen 2 berteknologi Wacom menyokong lakaran serta anotasi dengan tepat.

Ia merupakan sebuah Copilot+ PC dengan teknologi Lenovo Power Engine yang menggunakan AI untuk mengesan aktiviti pengguna dan mengoptimumkan prestasi melalui tiga mod iaitu Extreme Power Boost, Adaptive Performance dan Extreme Low Power. Yoga Pro 9i Aura Edition (16”, 11) dijangka ditawarkan pada harga bermula $1,899.99 USD (~RM7,691) dengan ketersediaan bermula Q2 2026.

