
Bekas isteri kepada penyanyi, Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr. Fie berharap agar segala urusan antara mereka dapat diselesaikan dengan baik demi kebahagiaan anak-anak.Menerusi satu hantaran di media sosial, Dr. Fie menitipkan pesanan agar dirinya dilepaskan dengan penuh keikhlasan selain berharap agar mereka dapat menjalinkan hubungan yang baik sebagai ibu bapa."Lepaskanlah saya dengan ikhlas. Berbaiklah demi anak-anak. Apa lagi yang kita nak dalam hidup ni? Fie nak syurga je buat kita semua," tulisnya.Bagaimanapun, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk seorang individu yang mempersoalkan kenyataan Dr. Fie berhubung isu hutang yang sebelum ini dibangkitkan Nubhan." Tapi kalau betul ada hutang itu, kena tanggung sendiri. Mana boleh lepas macam itu untuk anak-anak? Takkan nak kena bayar hutang orang lain, bayar dengan syurga? Maaf, tak faham kenyataan itu," komen individu berkenaan.Tidak berdiam diri, Dr. Fie kemudian membalas komen tersebut dengan meminta individu itu membuktikan bahawa hutang yang dimaksudkan benar-benar miliknya."Buktikan itu hutang saya," balasnya.Terdahulu, Nubhan mendakwa kediamannya didatangi beberapa individu yang dipercayai pengutip hutang dan sedang mencari bekas isterinya, Dr. Fie.Menerusi perkongsian di media sosial, Nubhan, 40, menegaskan bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya keselamatan dirinya, anak-anak dan keluarga terancam.Menurut penyanyi itu, sebelum ini dia mengambil keputusan untuk tidak terlalu berkongsi perkara berkaitan kemelut rumah tangganya di media sosial kerana bimbang ahli keluarganya menjadi sasaran kecaman orang ramai.





