Sime Darby Holdings cabar taksiran cukai RM150.18 juta oleh LHDN

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby Holdings cabar taksiran cukai RM150.18 juta oleh LHDN Image from: Sime Darby Holdings cabar taksiran cukai RM150.18 juta oleh LHDN sarah13/10/2026 - 17:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt - Sime Darby Holdings Bhd (SDHB) berpendapat terdapat alasan undang-undang yang sah untuk mempertahankan kedudukannya berhubung notis taksiran cukai berjumlah RM150.18 juta, termasuk penalti, yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Sime Darby Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuhnya itu menerima Notis Taksiran pada 30 September 2026 bagi tahun taksiran 2017 hingga 2023, berjumlah RM150,176,937.56.

 

Notis berkenaan dikeluarkan susulan keputusan LHDN untuk mengenakan cukai terhadap pendapatan faedah daripada aktiviti perbendaharaan SDHB di bawah Seksyen 4(c) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tempoh berkenaan.

 

Pertikaian itu berkaitan layanan cukai terhadap pendapatan faedah yang diperoleh SDHB daripada aktiviti perbendaharaannya sepanjang tujuh tahun taksiran tersebut. Bagaimanapun, pengumuman itu tidak memperincikan pengiraan taksiran atau asas terperinci yang digunakan LHDN untuk mengenakan cukai berkenaan.

 

Selepas mendapatkan pandangan penasihat cukai dan undang-undangnya, SDHB berpandangan terdapat alasan undang-undang yang sah untuk mencabar notis tersebut.

 

“SDHB berpendapat terdapat alasan undang-undang yang sah untuk mempertahankan kedudukannya terhadap Notis Taksiran tersebut,” menurut Sime Darby dalam makluman berkenaan.

 

SDHB bercadang mengemukakan rayuan terhadap keputusan LHDN dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis, selain memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar asas serta justifikasi pengeluaran notis taksiran itu.

 

Sime Darby berkata pihaknya akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting berkaitan perkara itu.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved