hamden13/10/2026 - 17:36 Gambar hiasan ini dijana Kecerdasan Buatan. KUALA LUMPUR 13 Okt - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan pembekuan aset bernilai RM1.27 bilion dari 2022 hingga September 2026, melibatkan akaun bank, barang kemas, harta tak alih dan barangan berharga lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, pembekuan aset itu dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau berkata, sebanyak 1,336 perintah pembekuan aset dikeluarkan di bawah akta berkenaan pada 2025, manakala 1,006 lagi dikeluarkan dari 1 Januari hingga 30 September 2026.
Dalam tempoh sama, sebanyak 481 perintah pembekuan dibatalkan tanpa pendakwaan pada 2025, manakala 781 lagi dibatalkan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026.
“Penarikan balik, pembatalan atau perubahan perintah pembekuan aset tidak semestinya bermaksud tiada kesalahan berlaku atau siasatan berkenaan tidak mempunyai asas.
“Ini kerana pembekuan aset merupakan sebahagian daripada proses penyiasatan dan langkah penguatkuasaan bagi menghalang aset yang disyaki mempunyai kaitan dengan sesuatu kesalahan daripada dipindahkan, dilupuskan atau diniagakan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai kuasa membekukan aset di bawah Seksyen 44 akta berkenaan serta isu kawal selia dan penyiasatan yang melibatkan SPRM pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, Selasa.
Kulasegaran berkata, siasatan yang dijalankan SPRM dan agensi penguatkuasaan lain tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Menurutnya, tindakan awal diambil berdasarkan laporan, siasatan awal yang menunjukkan wujudnya kes prima facie serta transaksi mencurigakan, termasuk aliran masuk dan keluar wang dalam jumlah luar biasa besar daripada akaun.
Beliau berkata, tempoh 90 hari yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 akta itu membolehkan perintah pembekuan dibatalkan secepat mungkin sebaik sahaja siasatan selesai.
“Saya bersetuju dengan Yang Berhormat bahawa undang-undang seperti yang diamalkan di Singapura, yang lebih bebas dan tidak berat sebelah, adalah lebih baik jika perkara ini diserahkan kepada mahkamah.
“Perkara ini pernah saya baca dan teliti, dan saya telah meminta agensi berkaitan untuk mengkajinya kerana pendekatan itu akan memberikan manfaat kepada semua pihak serta memelihara nama baik SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wee mengenai keperluan memperketat tadbir urus, termasuk mewajibkan kelulusan mahkamah sebelum akaun dibekukan atau aset milik syarikat tersenarai dirampas bagi melindungi kepentingan pemegang saham minoriti. - BERNAMA






