sarah13/10/2026 - 17:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Sime Darby Berhad bercadang mencabar taksiran cukai berjumlah RM150.18 juta yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Holdings Bhd (SDHB), berhubung layanan cukai terhadap pendapatan faedah daripada aktiviti perbendaharaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata SDHB menerima notis taksiran pada 30 September 2026 bagi tahun taksiran 2017 hingga 2023, dengan jumlah keseluruhan termasuk penalti.
Taksiran itu dibuat susulan keputusan LHDN untuk mengklasifikasikan pendapatan faedah yang dijana daripada aktiviti perbendaharaan SDHB sebagai pendapatan yang tertakluk kepada cukai di bawah Seksyen 4(c) Akta Cukai Pendapatan 1967.
SDHB diberikan tempoh 30 hari dari tarikh notis untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan pihak berkuasa cukai itu.
Sime Darby berkata anak syarikatnya telah mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai dan undang-undang serta berpendapat terdapat alasan undang-undang yang sah untuk mencabar taksiran tersebut.
Kemuka Rayuan
Syarikat itu bercadang mengemukakan rayuan dan memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar asas serta kesahihan notis yang dikeluarkan LHDN.
Pertikaian itu berkisar pada pengelasan cukai terhadap pendapatan faedah yang diperoleh daripada operasi perbendaharaan SDHB sepanjang tujuh tahun taksiran berkenaan.
Jumlah taksiran RM150.18 juta itu merangkumi keseluruhan amaun yang dituntut pihak berkuasa cukai, termasuk penalti, dan bukannya liabiliti cukai yang telah dimuktamadkan selepas pertikaian tersebut selesai.
Sime Darby tidak mendedahkan pecahan antara cukai pokok dengan penalti atau potensi kesan kewangan terhadap kumpulan sekiranya cabarannya tidak berjaya.
Syarikat itu berkata pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan penting berhubung perkara tersebut.- DagangNews.com






