hamden30/10/2026 - 18:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Lianson Fleet Group Bhd memperluas keupayaannya dalam sektor marin dan luar pesisir menerusi pengambilalihan kapal angkat berat yang akan dinamakan LFG Hercules, sekali gus membuka peluang meneroka pasaran perkhidmatan khusus di Malaysia dan rantau ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Icon Samudera (L) Inc., mengambil alih kapal berkenaan daripada pihak ketiga yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan itu pada 28 Oktober 2026.
Kapal yang dibina di China pada 2024 itu merupakan kapal angkat berat pertama Lianson Fleet Group dan dilengkapi kren utama berkapasiti mengangkat sehingga 4,000 tan metrik.
LFG Hercules mempunyai tan berat mati sebanyak 30,087 tan, dilengkapi keupayaan Sistem Penentududukan Dinamik Kelas 2 (DP2) serta kemudahan penginapan untuk sehingga 160 orang.
Kapal sepanjang 200.80 meter, lebar 48 meter dan berkedalaman 16 meter itu akan didaftarkan di bawah bendera Malaysia di Pelabuhan Klang.
Pengembangan strategik
Menurut kumpulan itu, pengambilalihan berkenaan merupakan langkah pengembangan strategik bagi melengkapi operasi kapal sokongan luar pesisir sedia ada, selain memanfaatkan pengalaman dalam pemilikan, pengendalian, penyewaan kapal dan penyediaan perkhidmatan luar pesisir.
Lembaga Pengarah optimis terhadap prospek kapal berkenaan, mengambil kira ketersediaan kapal angkat berat setanding yang agak terhad di rantau ini serta permintaan dijangka meningkat terhadap aset marin luar pesisir khusus.
Kumpulan itu berkata, saluran kerja penyahaktifan kemudahan yang besar susulan kematangan infrastruktur minyak dan gas luar pesisir di Asia Tenggara dijangka memacu permintaan terhadap perkhidmatan angkat berat.
Selain sektor tenaga konvensional, keupayaan mengangkat beban berat LFG Hercules turut membolehkan kumpulan meneroka peluang dalam pemasangan turbin angin luar pesisir dan projek berkaitan.
Perkembangan itu menyediakan platform kepada kumpulan untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan jangka panjang sektor tenaga boleh baharu luar pesisir di rantau ini.
Lianson Fleet Group menjangkakan pengambilalihan itu dapat memperkukuh kedudukannya dalam sektor marin dan luar pesisir, mempelbagaikan penawaran perkhidmatan serta membuka peluang pertumbuhan baharu dalam pembangunan tenaga konvensional dan boleh baharu.
Dari segi kewangan, pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya menerusi pendapatan sewaan kapal.
Bagaimanapun, kapal itu turut terdedah kepada risiko perniagaan dan operasi biasa, termasuk turun naik permintaan serta kadar sewaan, kerosakan kapal, kelewatan operasi dan risiko penyewa gagal memenuhi obligasi kontrak.
Kumpulan berkata, risiko berkenaan akan dikurangkan menerusi pengurusan kontrak dan operasi secara berhemat, pemilihan rakan niaga bereputasi baik, pengaturan sokongan kredit yang bersesuaian serta perlindungan insurans mencukupi.
Pengambilalihan itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama Lianson Fleet Group dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan berkaitan. - DagangNews.com






