hamden09/10/2026 - 18:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt - Kerajaan menyasarkan sebanyak 30,000 peluang pekerjaan baharu untuk golongan belia pada 2027 menerusi inisiatif Bakat Madani, termasuk melalui penyertaan lebih meluas daripada syarikat swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dilancarkan menerusi komitmen enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Petronas serta rangkaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mereka bagi menyediakan latihan dan peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan muda.
Anwar berkata, bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada sektor swasta, potongan cukai akan diberikan kepada syarikat yang melaksanakan program latihan Bakat Madani dari 29 Jun 2026 hingga 31 Disember 2030.
“Kerajaan memperuntukkan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentasi kementerian, dengan tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran golongan belia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), dengan sokongan pembiayaan RM3 bilion, akan menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran, termasuk program pembangunan profesional berterusan.
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan RM500 juta bagi membiayai pelatih yang mengikuti program latihan kemahiran di institut latihan kemahiran awam dan swasta yang berdaftar dengan PTPK.
Kolej Komuniti terus menawarkan kursus pendek kepada anak tahfiz sebagai laluan ke pekerjaan, keusahawanan dan pengajian tinggi.
Anggota Lain-lain Pangkat ATM yang tamat perkhidmatan dibekalkan dengan latihan kemahiran melalui kerjasama antaranya Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dan Akademi Laut Malaysia.
MARA melatih serta menempatkan 1,000 belia Bumiputera dalam sektor berpertumbuhan tinggi. Kemahiran pelatih pendawaian elektrik GIATMARA akan dimanfaat bagi membaik pulih pendawaian 20,000 rumah keluarga miskin.
CIDB melatih 10,000 belia dalam teknologi robotik dan digital bagi membuka kerjaya serta mengurangkan kebergantungan buruh asing.
ADTEC JTM membuka laluan kerjaya automotif berkemahiran tinggi kepada graduan menerusi Program Advanced Automotive Technology - DagangNews.com






