Masteel ambil alih 51% Anpec Global, sasar peluang projek grid dan pusat data

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 6:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Masteel ambil alih 51% Anpec Global, sasar peluang projek grid dan pusat data Image from: Masteel ambil alih 51% Anpec Global, sasar peluang projek grid dan pusat data hamden12/10/2026 - 18:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt – Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) memeterai perjanjian jual beli saham untuk mengambil alih 51% kepentingan dalam Anpec Global Corporation Sdn Bhd (Anpec) pada harga RM12 juta, sekali gus memperluas perniagaannya ke bidang kejuruteraan infrastruktur kuasa voltan tinggi.

 

Pengambilalihan itu menggabungkan kepakaran pembuatan keluli Masteel dengan keupayaan kejuruteraan pencawang dan infrastruktur grid Anpec, ketika permintaan terhadap infrastruktur bekalan kuasa semakin meningkat, termasuk bagi menyokong pembangunan pusat data dan peralihan tenaga hijau.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, daripada jumlah balasan RM12 juta itu, sebanyak RM3 juta akan dibayar secara tunai menggunakan dana yang dijana secara dalaman, manakala baki RM9 juta akan diselesaikan menerusi penerbitan 45 juta saham baharu Masteel kepada penjual.

 

Anpec ialah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) berstatus G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), yang mengkhusus dalam kejuruteraan pencawang sehingga 275 kilovolt (kV) serta kerja naik taraf pengubah voltan tinggi.

 

Miliki buku tempahan RM107 juta

Syarikat itu mempunyai portfolio projek infrastruktur bekalan kuasa kritikal dan penyelesaian pemulihan aset termaju, selain buku tempahan semasa bernilai RM107 juta yang dijangka diiktiraf sehingga 2028.

 

Anpec mempunyai rekod prestasi menyediakan perkhidmatan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sabah Electricity dan Petronas. Syarikat itu turut mengembangkan operasinya ke sektor pusat data menerusi pelaksanaan bekalan pukal 275kV bagi kemudahan Marmot di Elmina West.

 

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Anpec, Abd Rasid Mohamed Salleh, yang mempunyai pengalaman industri lebih 25 tahun, akan mengekalkan pegangan 49% dalam syarikat itu dan terus menerajui operasinya.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Masteel, Datuk Seri Tai Hean Leng berkata, peningkatan pembangunan infrastruktur kuasa ketika ini memerlukan kepakaran voltan tinggi serta struktur keluli yang mampan.

 

“Dengan menggabungkan keupayaan grid Anpec dengan kekuatan kami dalam pembuatan keluli berkarbon ultra rendah, kami memperluas penglibatan Masteel dalam sektor ini untuk menyediakan bahan penting dan penyelesaian kejuruteraan.

 

“Platform bersepadu kami membolehkan Kumpulan meraih peluang lebih luas daripada peruntukan Belanjawan 2027 sebanyak RM15 bilion yang memacu pemodenan grid Malaysia,” katanya.

 

Projek Peralihan Tenaga Hijau berskala lebih besar

Beliau berkata, gabungan keupayaan itu turut meletakkan Masteel pada kedudukan untuk melaksanakan projek Peralihan Tenaga Hijau berskala lebih besar, termasuk membekalkan keluli diperakui hijau serta perkhidmatan kejuruteraan pencawang 132kV dan 275kV bagi menghubungkan kemudahan solar berskala besar (LSS) kepada grid.

 

Dalam perkembangan berasingan, Masteel turut mencadangkan penempatan persendirian sehingga 29.5 juta saham biasa baharu, mewakili kira-kira 4% daripada jumlah saham terbitan syarikat, bagi mengumpul anggaran hasil kasar RM5.8 juta.

 

Dana itu akan digunakan terutamanya untuk memenuhi keperluan modal kerja berterusan Kumpulan.

 

Saham baharu yang diterbitkan menerusi penempatan persendirian itu, bersama 45 juta saham balasan bagi pengambilalihan Anpec, akan mewakili keseluruhan 10% daripada jumlah saham terbitan Masteel.

 

Kedua-dua cadangan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan dan disasarkan selesai menjelang akhir 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved