
KOTA KINABALU – Kuching City bijak memanfaatkan kesilapan lawan apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Likas, sebentar tadi.
Dua jaringan yang terhasil dalam tempoh kurang 30 minit nyata beri kesan besar kepada Sabah FC untuk akur mengalami kekalahan sulung musim ini.
Pada aksi kali ini, bekas penyerang sensasi The Rhinos, Ajdin Mujagic menjadi duri dalam daging buat tuan rumah selepas menghasilkan kedua-dua gol buat The Cats.
Terdahulu, pelawat hanya memerlukan lima minit di babak pertama, menyaksikan Mujagic memanfaatkan kesilapan R. Dinesh.
Selang 16 minit selepas itu, Mujagic terus mempamerkan magis apabila meledak gol kedua buat Kuching City dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa.
Sabah FC menyambung aksi dengan baik namun beberapa peluang yang dicipta gagal disudahkan dengan lebih sempurna.
Penjaga gol pelawat, Muhammad Haziq Nadzli juga bertindak cemerlang termasuk ketika menafikan percubaan bintang sensasi The Rhinos, Darren Lok pada minit ke-52.
Kehadiran mantan pertahanan Sabah FC, Gabriel Peres dalam skuad Kuching City nyata menghadirkan impak apabila bijak melakukan halangan setiap kali tuan rumah mengatur serangan. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Kuching City leburkan rekod kebal Sabah FC appeared first on Kosmo Digital.





