
GEORGE TOWN : Kelab yang berpangkalan dari Brunei, DPMM FC mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya menyekat Penang FC daripada meraih mata sulung selepas mencatatkan kemenangan 1-0 dalam aksi pembuka tirai saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya di sini, petang tadi.
Bermula seimbang, DPMM FC bagaimanapun terlebih dahulu mencemaskan kubu Penang FC apabila tandukan penyerang mereka, Dalberto Luan Belo menggegar palang gol tuan rumah pada minit ke-6.
Tersentak dengan percubaan itu, anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail kembali mengasak dan hampir mendahului seminit selepas itu menerusi pemain kelahiran Filipina, Gayoso Javier Augustine.
Bagaimanapun, pengadil, Mohd. Afdzal Hilmi Zulkiflee bertindak membatalkan jaringan tersebut kerana Gasoyo terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Pada minit ke-44, tuan rumah dihukum apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan mereka, Muhammad Fazly Mazlan dilayangkan kad merah oleh Mohd. Afdzal Hilmi kerana mengasari pemain DPMM FC, Miguel Angelo Agostinho.
Beraksi dengan kelebihan seorang pemain, DPMM FC cuba memanfaatkan peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol. Bagaimanapun, peluang terbuka mereka untuk memperoleh gol awal menerusi Dalberto seminit kemudian dibatalkan kerana ofsaid.
Ketika aksi separuh masa pertama berbaki beberapa minit untuk ditamatkan, tonggak pertahanan Penang FC, Obilor Faith Friday pula terpaksa ‘berputih mata’ selepas jaringannya dibatalkan kerana didakwa mengasari penjaga gol pelawat, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
Masuk babak kedua, DPMM FC terus ‘bernafsu’ untuk memburu jaringan dan gol yang dicari akhirnya menjelma apabila Miguel Angelo akhirnya berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang di depan gawang tuan rumah pada minit ke-64.
Lapan minit berselang, pelawat pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila tonggak pertahanan mereka, Tommy Mawat Bada menerima layangan kad kuning kedua selepas dilihat menyiku pemain gantian, Khala’if Naskam.
Kembali terikat dengan 10 pemain, Penang FC cuba menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan, namun, keputusan 0-1 kekal sehingga tanat perlawanan sekali gus menyaksikan tuan rumah terpaksa ‘berputih mata’ apabila gagal memungut sebarang mata pada aksi pertama Liga Super musim ini.-UTUSAN
The post Liga Super: DPMM sekat hajat Penang FC raih mata sulung appeared first on Utusan Malaysia.






