
SINGAPURA: Mutu udara di kelima-lima bahagian Singapura kekal pada paras tidak sihat pada Khamis dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi 160 dicatatkan di bahagian barat negara itu setakat pukul 10.00 pagi.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bacaan IPU di seluruh Singapura berada antara 112 di bahagian utara hingga 160 di bahagian barat yang paling teruk terjejas.
Lapor CNA, NEA sebelum ini menyatakan kepulan asap sederhana hingga tebal dari selatan Sumatra dikesan bergerak ke arah Singapura, manakala jerebu turut dikesan dari kawasan titik panas di Kalimantan.
Mutu udara di seluruh Singapura mula mencapai paras tidak sihat pada 12.00 tengah hari Rabu dan kekal pada paras tersebut hingga pagi Khamis.
Pada pukul 6.00 pagi, bahagian barat Singapura mencatatkan bacaan PSI 161, manakala bahagian tengah mencatatkan bacaan 147, timur (128), selatan (120) dan utara (113).
Sementara itu, keadaan jerebu terus menjejas beberapa bahagian Asia Tenggara berikutan kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan di Indonesia.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, lebih 1,200 titik panas kebakaran hutan dan tanah masih dikesan di seluruh negara itu.
Sekitar 180 titik panas dikesan di Kalimantan Tengah, jumlah tertinggi antara enam wilayah yang diberi keutamaan dalam usaha menangani kebakaran.
Dalam perkembangan berkaitan, perbicaraan awal satu saman berkumpulan berhubung kebakaran hutan di Kalimantan bermula di sebuah mahkamah di Pontianak semalam.
Empat pihak plaintif, terdiri daripada pertubuhan masyarakat Orang Asli dan masyarakat sivil, memfailkan saman terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, Gabenor Kalimantan Barat serta lapan defendan lain.
Mereka dituduh melakukan kecuaian serius kerana didakwa gagal mengambil langkah mencukupi untuk menangani kebakaran hutan dan masalah jerebu.
The post Lima kawasan Singapura catat IPU tidak sihat appeared first on Utusan Malaysia.






