
KUANTAN – Sebanyak lima lagi Politeknik Premier di negara ini akan menawarkan kursus peringkat sarjana muda bermula tahun hadapan menjadikan kesemua lapan politeknik premier di negara ini akan menawarkan kursus sarjana muda.
Politeknik baharu yang akan menawarkan kursus peringkat ijazah sarjana muda ialah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah Kulim, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Kedaih , Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Merlimau di Melaka.
Sebelum ini tiga politeknik telah menawarkan kursus sarjana muda iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam, Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dan Politeknik Ungku Omar Perak.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, kesemua lima politeknik berkenaan akan memulakan sesi pengajian pertama peringkat Sarjana Muda pada September 2027.
“Selari dengan kenaikan taraf politeknik sebagai Politeknik Primer mereka dibenarkan untuk menawarkan program di peringkat ijazah sarjana muda. Di Polisas ini kerana kekuatan mereka adalah teknologi makanan mereka akan menawarkan program sarjana muda teknologi makanan dan yang kedua mereka menawarkan ijazah dalam bidang logistik,”katanya.
Beliau berkata demikian pada pada Majlis Sambutan 50 tahun Jubli Emas Polisas yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Sri Mahkota Polisas di sini hari ini.
Menurutnya sebanyak 13 program pengajian peringkat ijazah sarjana muda akan ditawarkan berdasarkan kepada kekuatan politeknik masing-masing.
Katanya permohonan kemasukan dijangka boleh dilakukan bermula Jun tahun depan yang dijangka menempatkan 60 pelajar bagi setiap politeknik. – KOSMO! ONLINE
The post Lima lagi politeknik tawar ijazah sarjana muda appeared first on Kosmo Digital.






