
PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES akan menawarkan Insentif Rebat Rahmah sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, menerusi inisiatif itu, semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar dalam kalangan warganegara Malaysia yang layak bakal menikmati pemberian 10 gigabyte (GB) data percuma.
“Semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar dalam kalangan warganegara Malaysia yang layak akan menikmati pemberian 10GB data percuma, iaitu 5GB pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos dan 5GB lagi pada Hari Malaysia, 16 September,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Program Sambutan HKHM 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kaedah dan tempoh penebusan data percuma itu akan diperincikan oleh syarikat telekomunikasi terlibat, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, soalan lazim (FAQ) berkaitan inisiatif tersebut juga akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Komunikasi dalam tempoh terdekat.
“Semoga sinergi antara sektor awam dan swasta yang telah terbina tidak terhenti di sini, sebaliknya terus diperkukuh dan diperluaskan demi kemakmuran serta masa depan Malaysia tercinta,” ujarnya. –UTUSAN
The post Pengguna lima telco nikmati 10GB data percuma sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.





