
PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan menawarkan Insentif Rebat Rahmah sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2026.
Dalam konteks ini, lima syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam menawarkan pemberian 10 gigabyte (GB) data percuma kepada pengguna warga Malaysia melibatkan CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YES.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, menerusi inisiatif itu, semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar layak menerima data percuma itu.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan satu lagi berita baik buat seluruh rakyat Malaysia.
“Semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar dalam kalangan warga Malaysia yang layak akan menikmati pemberian 10GB data percuma, iaitu 5GB pada Hari Kebangsaan, dan 5GB lagi pada Hari Malaysia,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Program Sambutan HKHM 2026, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kaedah dan tempoh penebusan data percuma itu akan diperincikan oleh syarikat telekomunikasi terlibat, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, soalan lazim berkaitan inisiatif tersebut juga akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Komunikasi dalam tempoh terdekat.
“Syabas kepada Bahagian Kawalan dan Pematuhan, Kementerian Komunikasi yang telah melaksanakan sesi rundingan bersama syarikat telekomunikasi berkaitan.
“Semoga sinergi antara sektor awam dan swasta yang telah terbina tidak terhenti di sini, sebaliknya terus diperkukuh dan diperluaskan demi kemakmuran serta masa depan Malaysia tercinta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pengguna nikmati 10GB percuma sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia appeared first on Kosmo Digital.




