Lima lokasi di Sarawak rekod IPU bahaya

LocalEnvironment
2 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lima lokasi di Sarawak rekod IPU bahaya

PETALING JAYA: Lima lokasi di Sarawak masih merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap bahaya dengan bacaan IPU melebihi 300 setakat pukul 6 petang semalam.

Semakan di laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Serian merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan 374, diikuti Kuching (346), Sarikei (333), Sibu (323) dan Samarahan (318).

Empat lagi lokasi di Sarawak iaitu Sri Aman (295), Bintulu (247), Mukah (241) dan Samalaju (226) masih merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat.

Empat lagi lokasi di Sarawak iaitu ILP Miri (191), Miri (186), Kapit (185) dan Limbang (173) merekodkan bacaan IPU tidak sihat.

Enam lokasi di Sabah merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Kota Kinabalu (177), Labuan (171), Kimanis (165), Keningau (165), Politeknik Kota Kinabalu (161) dan Tawau (154).

Satu lokasi merekodkan IPU tidak sihat di Semenanjung, iaitu Johan Setia, Selangor dengan bacaan IPU 157.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pendedahan berpanjangan kepada jerebu meningkatkan risiko keguguran dan menyebabkan komplikasi kehamilan termasuk bayi lahir dengan berat badan rendah dan kecacatan.

Data kajian terhadap manusia dan haiwan menunjukkan terdapat perkaitan yang munasabah dari segi biologi antara pencemaran udara dengan peningkatan kejadian keguguran spontan.

Katanya, keadaan itu berikutan pencemaran udara boleh mengurangkan pembentukan salur darah pada plasenta, manakala wanita hamil lebih mudah terjejas dan perlu mengurangkan pendedahan kepada jerebu bagi melindungi kesihatan diri serta kandungan.

“Partikel berukuran kurang daripada 2.5 mikrometer boleh sampai ke alveolus paru-paru sebelum memasuki peredaran darah dan menembusi penghalang plasenta.

“Keadaan itu berpotensi mengganggu pertumbuhan janin menerusi mekanisme keradangan, tekanan oksidatif dan kerosakan vaskular,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sharifa Ezat berkata, ancaman jerebu bukan sahaja membahayakan ibu hamil dan janin, malah pendedahan jangka panjang kepada PM2.5 dikaitkan dengan peningkatan risiko strok sehingga 30 peratus.

Pendedahan kepada partikel halus itu turut meningkatkan kebarangkalian seseorang mengalami tekanan darah tinggi antara lima hingga 10 peratus, selain menambah kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung antara 10 hingga 20 peratus.

Pendedahan berpanjangan kepada PM2.5 dan PM10, nitrogen dioksida dan ozon menyebabkan keradangan saluran pernafasan secara beransur-ansur, penurunan fungsi paru-paru serta bronkitis kronik.

Risikonya meningkat antara lima hingga 30 peratus bergantung pada kepekatan bahan pencemar dan tempoh pendedahan, selain boleh menyebabkan serangan asma, perkembangan penyakit pulmonari obstruktif kronik serta peningkatan jangkitan pernafasan. – UTUSAN

The post Lima lokasi di Sarawak rekod IPU bahaya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved