
KOTA KINABALU: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar diaktifkan susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang menghampiri paras 200.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat jam lima petang semalam, bacaan IPU di Kota Kinabalu merekodkan 177, Tawau (153), Keningau (165), Kimanis, Papar (166) dan Politeknik Kota Kinabalu (153), dengan kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.
Zainudin berkata, peningkatan bacaan IPU berkenaan dipengaruhi pergerakan angin yang menghala ke Sabah dan dijangka terus meningkat secara konsisten selagi tiada hujan berlaku di Kalimantan.
Menurutnya, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kawasan Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu kini dikategorikan pada tahap Amaran 1A.
“Bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkenaan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga.
“Ia turut membabitkan peningkatan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah,” katanya.
Zainudin berkata, pengisytiharan darurat atau bencana jerebu hanya akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya semua aktiviti rasmi kerajaan negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.
“Kerajaan negeri juga akan mengesyorkan supaya sekolah di kawasan yang mencapai bacaan IPU 200 atau lebih ditutup dan pembelajaran dilaksanakan dari rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Zainudin mencadangkan supaya solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan susulan keadaan jerebu yang berlaku.
“Pada masa sama, rumah-rumah ibadah agama lain turut disarankan melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya. – UTUSAN
The post Sabah aktifkkan PKOB di daerah dilanda jerebu – SKN Sabah appeared first on Utusan Malaysia.






