
SHAH ALAM, 1 OKT: Lima lokasi saringan ditetapkan bagi memeriksa semua kenderaan yang menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026, Ahad ini.
Lokasi pertama membabitkan laluan dari arah Plaza Tol KLIA ke Jalan Pekeliling, manakala satu lagi dari arah KLIA 1 menuju ke Jalan Pekeliling.
Saringan turut dilaksanakan sebelum bulatan Masjid menuju ke SIC serta dari arah Kota Warisan ke Lebohan Dagang menuju ke Jalan KLIA 1.
Satu lagi lokasi ditetapkan di Simpang Empat Jalan Kuarters KLIA menuju ke SIC, iaitu di lampu isyarat Enstek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata kenderaan berkenaan akan melalui pemeriksaan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum mendapat kebenaran untuk memasuki SIC.
“Bagi memastikan kawalan akses yang teratur, semua kenderaan yang menghala ke SIC diwajibkan melalui pemeriksaan saringan di lima lokasi utama.

“Semua kenderaan yang menuju ke SIC akan disaring dengan pemeriksaan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum pengunjung dibenarkan masuk ke kawasan SIC,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Shazeli berkata, pengguna dari arah utara ke selatan boleh menggunakan dua laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan, iaitu melalui Lebuhraya ELITE-SKVE ke Plaza Tol Kuala Lumpur-Seremban atau ELITE-MEX ke plaza tol sama.
Menurutnya, laluan alternatif berkenaan boleh digunakan sekiranya berlaku kesesakan bagi perjalanan menuju ke selatan.
Tambahnya, seramai 365 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditugaskan mengawal lalu lintas, rondaan, penguatkuasaan serta pengiring VIP sepanjang acara.






