
USAHA mendekati komuniti Orang Asli bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah membuka ruang untuk memahami kehidupan, budaya serta keperluan mereka dengan lebih dekat.
Pendekatan secara bersemuka menerusi aktiviti bersama komuniti juga mampu mewujudkan hubungan yang lebih bermakna, khususnya dalam memastikan setiap bantuan yang disalurkan benar-benar bersesuaian dengan keperluan mereka.
Inisiatif itu digerakkan sekumpulan sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Layla Maliqa Community (LMC) menerusi sumbangan pelbagai barangan keperluan termasuk makanan, set alat tulis, kelengkapan penjagaan gigi serta mainan untuk kanak-kanak.
Kira-kira 32 keluarga dari Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak, Selangor, diraikan menerusi program yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Menurut Pengasas LMC, Layla Maliqa, usaha menyantuni komuniti Orang Asli itu bukan sekadar menyampaikan bantuan, sebaliknya menjadi platform untuk saling mengenali dan memahami gaya hidup serta keperluan masyarakat setempat.
Katanya, acara berkenaan turut dirangka dengan pengisian yang lebih interaktif agar komuniti dapat meluangkan masa bersama sukarelawan dalam suasana santai dan mesra.
“Program ini bukan sekadar tentang pemberian sumbangan, tetapi kami mahu mendekati mereka, memahami kehidupan serta keperluan komuniti di sini dengan lebih dekat.
“Selain sumbangan, kami turut mengadakan demonstrasi penjagaan gigi yang betul bersama doktor gigi iaitu Dr. Sriya dari Hi-Dentist bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut, khususnya kepada kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak baru-baru ini.

Program tersebut turut diserikan dengan aktiviti permainan dan cabaran teka-teki susun botol yang melibatkan kanak-kanak serta ahli komuniti sekali gus mewujudkan suasana lebih ceria dan menggalakkan interaksi antara sukarelawan dengan penduduk.
Pendekatan sebegini dilihat dapat menjadikan program kebajikan lebih bermakna kerana bukan sahaja memberi manfaat dari segi material, malah membina hubungan, kepercayaan dan kefahaman yang lebih erat antara sukarelawan dengan komuniti.
Sementara itu, Pengasas Bersama LMC, Hani Nesa berkata, aktiviti tersebut secara tidak langsung mendekatkan kira-kira 15 sukarelawan dalam memahami budaya dan gaya hidup masyarakat Orang Asli.
“Dengan cara ini kita sebagai orang bandar boleh memahami bagaimana kehidupan masyarakat etnik Orang Asli Temuan di sini menjalani kelangsungan hidup dan mempelajari tentang manfaat herba secara rawatan tradisional orang kampung.
“Pada saya komuniti Orang Asli ini sangat mudah untuk didekati cuma mereka agak malu untuk berinteraksi dengan masyarakat luar. Disebabkan itu, aktiviti menyantuni ini secara tidak langsung memberi ruang kepada warga bandar dan komuniti Orang Asli untuk saling berkomunikasi dan bertukar pandangan,” katanya.
Teruja menerima kunjungan tersebut, Tok Batin Ulang berharap agar komuniti Orang Asli terus diberi perhatian bukan sahaja dalam memenuhi keperluan harian, malah turut diperkasa menerusi aspek pengetahuan dan kemahiran.
“Tidak dinafikan telah ada Orang Asli yang berjaya sekarang, tetapi ada juga yang masih kurang berinteraksi dengan masyarakat luar. Jadi saya sangat gembira kerana LMC sudi untuk meraikan penduduk di kampung ini.
“Saya mengharapkan pada masa hadapan, masyarakat bandar sudi untuk saling berkongsi kemahiran atau pengalaman mereka dengan komuniti Orang Asli agar dapat mewujudkan pembaharuan pada masa hadapan,” ujarnya.
The post LMC buka ruang kenali kehidupan Orang Asli appeared first on Kosmo Online.






