
PGA menahan 15 individu dan merampas peralatan melombong emas haram bernilai RM449,000 dalam Ops Gali Mega Zon Timur di Bukit Kor, Marang.
MARANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 15 individu dan merampas pelbagai peralatan perlombongan bernilai RM449,000 dalam Ops Gali Mega Zon Timur di Bukit Kor, dekat sini hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata suspek termasuk seorang warga Vietnam dan 10 Kemboja berusia antara 20 hingga 40 tahun dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
“Siasatan mendapati aktiviti perlombongan di kawasan seluas 4.05 hektar itu dikendalikan seorang wanita Kemboja dikenali sebagai Mak Siti dari bulan lepas.
“Serbuan merampas masing-masing sebuah jentera berat dan pemecah batu, pam air (lapan), generator (tiga) dan pengayak emas (dua),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata operasi dilaksanakan oleh dua pegawai dan 10 anggota PGA Batalion 9 dengan bantuan beberapa agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata modus operandi suspek melibatkan penggalian lubang hingga kira-kira enam meter sebelum tanah dan batu dikeluarkan menggunakan jentera untuk dibawa ke kawasan pemprosesan.
Bahan itu kemudiannya dihancurkan, dibersihkan, ditapis dan diayak untuk mendapatkan emas sebelum dijual kepada peniaga tempatan dikenali sebagai Pak Lang.
Siasatan juga mendapati pelombong mampu mendapatkan hasil lumayan, iaitu hingga 40 gram emas sehari.
“Penemuan ini menunjukkan perlombongan emas haram di Bukit Kor bukan sekadar aktiviti penggalian kecil-kecilan sebaliknya dipercayai mempunyai rantaian operasi tersusun bermula daripada penggalian, pengeluaran bahan, pemprosesan, pengasingan emas hingga pemasaran,” katanya.
Ahmad Radzi berkata siasatan akan dijalankan terhadap pemilik tanah bagi menentukan jika mempunyai kaitan dengan perlombongan itu.






